Tuesday, 4 October 2016

Entri Blog 1: Bencana Alam, Balasan Manusia

'Taufan Megi dijangka badai Taiwan' sekali lagi menjadi tajuk besar surat khabar menyatakan kejadian bencana alam untuk hari ini. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, banyak nyawa yang tidak berdosa telah diragut oleh bencana alam ini. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasa pun yang mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tidak terancam.

Image result for taufan megi
TAUFAN Megi berpusat pada 490 kilometer di timur-tenggara Hualien di pantai timur Taiwan, bergerak ke arah barat-barat laut pada kelajuan 21 kilometer sejam. - Foto EPA

Pertama sekali, kita melihat bagaimana faktor manusia menjadi penyebab kejadian bencana alam. Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Kemusnahan hutan ini berlaku disebabkan kerakusan manusia yang  menebang pokok-pokok  untuk pembalakan.

Kedua, keghairahan sesebuah negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Walaubagaimanapun, ,pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap manusia dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Menurut laporan Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perubahan iklim ialah sesuatu kejadian yang tidak dapat disangkal lagi dan ia berlaku akibat kegiatan manusia membebaskan gas rumah hijau ke atmosfera menyebabkan suhu udara meningkat.

Peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutama karbon dioksida, metana dan nitrus oksida di atmosfera terutama daripada pembakaran bahan api fosil seperti petrol, diesel, arang batu dan kegiatan guna tanah, memerangkap haba dan menyebabkan peningkatan suhu dan fenomena pemanasan global yang telah membawa pelbagai impak negatif kepada kehidupan manusia masa kini.

Menurut laporan panel itu suhu dunia akan terus meningkat, fenomena kemarau, banjir, peningkatan aras laut akan semakin teruk menjelang dekad akan datang jika dunia tidak berusaha mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ini. 

Di Malaysia, suhu udara yang meningkat menyebabkan berlaku perubahan pola kejadian fenomena cuaca ekstrem seperti banjir besar, peningkatan aras laut dan hakisan pantai yang serius adalah petanda impak perubahan iklim.

Kejadian banjir terburuk di Johor penghujung 2006 dan awal 2007 serta banjir teruk yang berlaku awal tahun ini juga di Johor, berkemungkinan ada kaitannya dengan perubahan iklim. Kajian Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati 30 peratus pantai di Malaysia mengalami hakisan yang teruk dan ini dijangka menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim berterusan.

Perubahan iklim membawa pelbagai impak kepada kesejahteraan penduduk, alam sekitar dan pelbagai ekosistem serta ekonomi. Dengan suhu yang meningkat, banjir dan kemarau yang semakin kerap, keupayaan negara mengeluarkan makanan mungkin akan terjejas.

Menurut laporan IPCC lagi, jika kepekatan gas rumah hijau di atmosfera terus meningkat, dijangka purata suhu dunia akan meningkat melebihi enam darjah Celsius pada penghujung abad ke-21. Ini jauh lebih tinggi berbanding peningkatan kurang dari satu darjah Celsius sejak 100 tahun yang lalu. Dunia akan berada dalam keadaan kemusnahan sekiranya ini berlaku.

Kegiatan manusia juga menyebabkan berlakunya jerebu. Jerebu adalah suatu keadaan yang disebabkan oleh zarah-zarah halus yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar terampai di atmosfera. Namun begitu ia kelihatan seperti kabus apabila berada dalam kepadatan yang tinggi. Masalah jerebu berlaku akibat daripada pembakaran sampah terbuka, pembakaran jerami padi dan pembakaran hutan menyebabkan gas beracun seperti karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen terbebas di udara. 


Masalah jerebu di negara Malaysia semakin meruncing. Cuaca panas dan kering menambahkan kemerosotan kualiti udara. Keadaan ini membawa kesan penyakit seperti jangkitan pada saluran pernafasan, radang paru-paru, asma, sakit kepala dan batuk berpanjangan.



Image result for jerebu


Kebelakangan ini, Universiti Harvard dan Universiti Columbia telah menjalankan sebuah kajian tentang kematian di Malaysia akibat berlakunya jerebu. Kajian ini menyatakan bahawa jerebu di Asia Tenggara pada 2015 telah menyebabkan 6500 kematian di negara Malaysia. 

Dalam jurnal Surat Penyelidikan Alam Sekitar (ERL) juga dijangka menyiarkan kajian tersebut dan mendakwa bahawa terdapat 100,300 kematian pramatang di rantau ini akibat jerebu, iaitu 91,600 di Indonesia dan 2,200 di Singapura. Angka-angka tersebut adalah jauh bercanggah dengan kiraan rasmi di mana hanya melaporkan 19 kematian di Indonesia dan tiada satu kematian di Malaysia dan Singapura.

Pendapat dari Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran ragu-ragu tentang dapatan kajian ini. Buktinya kementerian telah melakukan kajian mengenai zarah yang terapung di udara akibat pembakaran terbuka serta kesannya pada tubuh manusia dan mendapati selain gejala cepat marah, tiada kemungkinan risiko kesihatan yang menyebabkan kematian. 

Walaubagaimanapun, bencana alam akan terus berlaku kerana ia sukar untuk dielakkan. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam yang  melanda setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?

No comments:

Post a Comment