Tuesday, 18 October 2016

Entri Blog 2: Isu Keganasan Militan IS di Malaysia

Dunia telah mengalami pelbagai peristiwa keganasan dan kekejaman manusia sejak zaman nabi Adam. Kita menjadikan Kisah Habil dengan Qabil yang berbunuhan demi seorang perempuan sebagai satu iktibar ketika kita merentasi zaman depan yang belum tentu gelap atau cerah. Selepas perang dunia, zaman orde baru telah muncul dimana Amerika Syarikat telah menjadi kekuatan adiperkasa yang menguasai ekonomi, politik dan sosial dunia. Berakhirnya perang dingin di antara Soviet Union dengan Amerika Syarikat dan blok Barat, China dan Islam dianggap musuh utama dunia. Maka muncul negara musuh baru dunia seperti Cuba, Iran, Syria, Libya, Sudan dan Iraq.

Episod kedajalan ini bertambah teruk apabila berlakunya peristiwa pengeboman bangunan World Trade Centre (WTC) pada 11 September 2001. Bermula keganasan global tanpa institusi konkrit seperti negara dan pertubuhan berdaftar. Yang ada adalah al Qaeda dan Osama yang penuh misteri dan kabur dalam kabus kekeliruan. Semua fakta boleh diragui telah dijadikan alasan untuk membalas keganasan dan kekerasan dengan kekerasan. Inilah fasa baru keganasan global yang akan menggugat kedamaian dunia.

Hari ini, muncul sebuah kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan Syam, yang lebih dikenali dengan singkatan nama dalam bahasa Inggeris, ISIS.

Image result for is di malaysia

ISIS mempunyai sikap anti-Syiah dan sekutu telah menunjukkan kecenderungan politiknya sejak awal kegiatan dengan membina pengaruh hingga muncul dengan kekuatan seperti disaksikan hari ini di mana IS disokong Iran dan mendapat bantuan gerakan militan Syiah Lubnan, Hizbullah. IS juga menampakkan sikap politik anti-Syiah dan sekutu dalam konflik Syria. Satu penentangan terhadap paksi Syria-Iran berlaku iaitu penentangan terhadap rejim Bashar al-Assad.

Rancangan besar IS ialah menubuhkan sebuah negara Islam menurut tafsirannya di Iraq dan Syam yang meliputi Iraq yang majoriti penduduknya Syiah dan Syam yang turut meliputi Syria. ISIS kelihatan mendapat sokongan oleh satu jumlah besar Muslim Sunni yang dipengaruhi fahaman anti-Syiah dan yang beraliran Wahabi, ekoran eksploitasi sentimen sektarian ekoran konflik di Iraq dan Syria.

Keganasan militan IS bukan sahaja berlaku di Syria dan Iran sahaja. Malah ideologi kumpulan ini muncul secara senyap di Malaysia. Di awal tahun 2016, Malaysia telah bergelut dengan beberapa siri laporan yang mengingatkan bahawa ancaman IS semakin meningkat.
Seperti yang dilaporkan di dalam The Diplomat pada 11 January 2016 di mana New Straits Times telah mendedahkan bahawa terdapat dua pengebom berani mati rakyat Malaysia mempunyai kaitan dengan kumpulan IS telah meletupkan diri mereka di Syria dan Iraq dan membunuh lebih daripada 30 orang. Kesan daripada tindakan tersebut menunjukkan bahawa trend peranan rakyat Malaysia di dalam IS semakin meningkat.

Sementara itu, di Malaysia sendiri, seorang remaha lelaki berusia 16 tahun yang berpakaian seperti ahli IS telah menawan seorang wanita dengan bersenjatakan pisau di utara, Kedah. Pihak polis Malaysia begitu serius menguar-uarkan berkaitan hal berkenaan setelah menahan remaja terbabit, namun hal tersebut secara jelas menggambarkan risiko berhadapan dengan serangan lone-wolf di negara ini di mana.

Melihat kepada konteks yang lebih luas di kawasan Asia Tenggara pada awal 2016 juga agak membimbangkan. Pada 14 Januari 2016, serangan bom dan senjata api di tengah-tengah bandaraya Indonesia telah dilancarkan. Lebih kurang enam orang suspek telah dibunuh yang dipercayai serangan dilakukan oleh kumpulan militan IS.

Hal ini telah memberi ancaman terhadap Malaysia. Pada tahun 2015, beberapa cubaan berani mati di dalam negara telah berjaya dipatahkan telah memberi isyarat petanda bahawa serangan yang terancang oleh orang Malaysia setelah mempunyai interaksi dengan ahli IS di luar negara. Kepentingan kewangan dan gudang senjata menjadi faktor usaha mereka ke arah menjayakan penubuhan IS di Malaysia setelah melancarkan serangan. Dalam lebih daripada beberapa plot yang berjaya dipatahkan, individu-individu ini bukan sahaja mensasarkan rakyat Malaysia tetapi luar negara, termasuk sidang kemuncak tahunan ASEAN dan kedutaan-kedutaan asing.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa juga berjaya menumpaskan percubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat transit untuk pengrekrut menuju ke Syria untuk menyertai IS. Hal ini penting kerana individu-individu ini berpotensi untuk kembali dan menyertai dalam serangan di tanah air.
Namun, menurut Unit Tindakan Khas, 47 rakyat Malaysia telah direkrut dan dilatih sebagai pejuang IS di kem Syria dan Iraq, di mana 12 daripadanya ialah wanita dan 8 orang adalah kanak-kanak. Pihak anti-keganasan Malaysia baru-baru ini telah memberikan amaran tentang IS mendoktrin dan melatih kanak-kanak seusia 2 tahun sebagai pelapis pengganas samada di luar negara atau di Malaysia. Tambahan lagi, 17 rakyat Malaysia telah dilaporkan terbunuh kerana menjadi pengebom berani mati.

Seperti yang diperkatakan awal tadi, pendedahan tentang 2 pengebom berani mati rakyat Malaysia, sekiranya benar, ia menunjukkan kebimbangan kerana perkara tersebut jelas menyatakan selain daripada bilangan, peranan rakyat Malaysia di dalam IS semakin berkembang. Walapun dikatakan rakyat Malaysia berada di tahap paling rendah dalam kumpulan pengganas ini dan selalu dikerah menjadi buruh kasar selain daripada menjadi pejuang di barisan hadapan, mereka berkemungkinan perlahan-lahan semakin berkembang sepanjang beberapa bulan di dalam latihan. Sebagai contoh, seorang pengebom berani mati bekerja sebagai seorang tukang cuci sebelum direkrut menjadi penembak tepat dan pengebom berani mati, dan akhirnya mati ketika misi setahun lepas di utara Iraq.

Dan ketika Malaysia tidak mempunyai kem latihan IS, seperti yang Khalid akui, rakyat Malaysia masih boleh pergi ke luar negara untuk menjalani latihan samada di selatan Filipina atau di Timur Tengah. Walaupun dia mengetahui bahawa pihak berkuasa ada menjalankan usaha untuk membawa balik rakyat Malaysia ke tanah air., kekuatan Malaysia untuk menghalang mereka adalah sangat terhad kerana mereka berada di luar negara, jika mereka memilih untuk bertindak sedemikian.


Keganasan global terutamanya keganasan militan IS adalah isu paling hangat pada ketika ini. Apa yang menjadi persoalan adakah bermoral jika pihak tertindas mengunakan pendekatan kekerasan dan keganasan dalam tindakan mereka? Adakah bermoral kelakuan ini? Secara umunnya, kita menganggap tindakan kekerasan adalah tidak relevan dan di luar lingkaran sifat kemanusiaan. Walau bagaimanapun, pihak tertindas menganggap tindakan mereka adalah bermoral kerana mereka tidak dipernah diberi ruang atau alternatif secara aman dan selalu dikotak-katik dan dikhianati. Bahkan pihak pendokong keamanan, keadilan dan demokrasi sendiri yang dikatakan terlalu sakral itu sendiri dilihat tidak bermoral. Penilaian tindakan moral tentang kekerasan dan keganasan terlalu subjektif dan bergantung kepada persepsi seseorang yang menilai.

Tuesday, 4 October 2016

Entri Blog 1: Bencana Alam, Balasan Manusia

'Taufan Megi dijangka badai Taiwan' sekali lagi menjadi tajuk besar surat khabar menyatakan kejadian bencana alam untuk hari ini. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, banyak nyawa yang tidak berdosa telah diragut oleh bencana alam ini. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasa pun yang mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tidak terancam.

Image result for taufan megi
TAUFAN Megi berpusat pada 490 kilometer di timur-tenggara Hualien di pantai timur Taiwan, bergerak ke arah barat-barat laut pada kelajuan 21 kilometer sejam. - Foto EPA

Pertama sekali, kita melihat bagaimana faktor manusia menjadi penyebab kejadian bencana alam. Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Kemusnahan hutan ini berlaku disebabkan kerakusan manusia yang  menebang pokok-pokok  untuk pembalakan.

Kedua, keghairahan sesebuah negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Walaubagaimanapun, ,pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap manusia dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Menurut laporan Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perubahan iklim ialah sesuatu kejadian yang tidak dapat disangkal lagi dan ia berlaku akibat kegiatan manusia membebaskan gas rumah hijau ke atmosfera menyebabkan suhu udara meningkat.

Peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutama karbon dioksida, metana dan nitrus oksida di atmosfera terutama daripada pembakaran bahan api fosil seperti petrol, diesel, arang batu dan kegiatan guna tanah, memerangkap haba dan menyebabkan peningkatan suhu dan fenomena pemanasan global yang telah membawa pelbagai impak negatif kepada kehidupan manusia masa kini.

Menurut laporan panel itu suhu dunia akan terus meningkat, fenomena kemarau, banjir, peningkatan aras laut akan semakin teruk menjelang dekad akan datang jika dunia tidak berusaha mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ini. 

Di Malaysia, suhu udara yang meningkat menyebabkan berlaku perubahan pola kejadian fenomena cuaca ekstrem seperti banjir besar, peningkatan aras laut dan hakisan pantai yang serius adalah petanda impak perubahan iklim.

Kejadian banjir terburuk di Johor penghujung 2006 dan awal 2007 serta banjir teruk yang berlaku awal tahun ini juga di Johor, berkemungkinan ada kaitannya dengan perubahan iklim. Kajian Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati 30 peratus pantai di Malaysia mengalami hakisan yang teruk dan ini dijangka menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim berterusan.

Perubahan iklim membawa pelbagai impak kepada kesejahteraan penduduk, alam sekitar dan pelbagai ekosistem serta ekonomi. Dengan suhu yang meningkat, banjir dan kemarau yang semakin kerap, keupayaan negara mengeluarkan makanan mungkin akan terjejas.

Menurut laporan IPCC lagi, jika kepekatan gas rumah hijau di atmosfera terus meningkat, dijangka purata suhu dunia akan meningkat melebihi enam darjah Celsius pada penghujung abad ke-21. Ini jauh lebih tinggi berbanding peningkatan kurang dari satu darjah Celsius sejak 100 tahun yang lalu. Dunia akan berada dalam keadaan kemusnahan sekiranya ini berlaku.

Kegiatan manusia juga menyebabkan berlakunya jerebu. Jerebu adalah suatu keadaan yang disebabkan oleh zarah-zarah halus yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar terampai di atmosfera. Namun begitu ia kelihatan seperti kabus apabila berada dalam kepadatan yang tinggi. Masalah jerebu berlaku akibat daripada pembakaran sampah terbuka, pembakaran jerami padi dan pembakaran hutan menyebabkan gas beracun seperti karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen terbebas di udara. 


Masalah jerebu di negara Malaysia semakin meruncing. Cuaca panas dan kering menambahkan kemerosotan kualiti udara. Keadaan ini membawa kesan penyakit seperti jangkitan pada saluran pernafasan, radang paru-paru, asma, sakit kepala dan batuk berpanjangan.



Image result for jerebu


Kebelakangan ini, Universiti Harvard dan Universiti Columbia telah menjalankan sebuah kajian tentang kematian di Malaysia akibat berlakunya jerebu. Kajian ini menyatakan bahawa jerebu di Asia Tenggara pada 2015 telah menyebabkan 6500 kematian di negara Malaysia. 

Dalam jurnal Surat Penyelidikan Alam Sekitar (ERL) juga dijangka menyiarkan kajian tersebut dan mendakwa bahawa terdapat 100,300 kematian pramatang di rantau ini akibat jerebu, iaitu 91,600 di Indonesia dan 2,200 di Singapura. Angka-angka tersebut adalah jauh bercanggah dengan kiraan rasmi di mana hanya melaporkan 19 kematian di Indonesia dan tiada satu kematian di Malaysia dan Singapura.

Pendapat dari Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran ragu-ragu tentang dapatan kajian ini. Buktinya kementerian telah melakukan kajian mengenai zarah yang terapung di udara akibat pembakaran terbuka serta kesannya pada tubuh manusia dan mendapati selain gejala cepat marah, tiada kemungkinan risiko kesihatan yang menyebabkan kematian. 

Walaubagaimanapun, bencana alam akan terus berlaku kerana ia sukar untuk dielakkan. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam yang  melanda setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?